Rakaman Sampai Bila (lagu Misha Omar)

Lagu ini dirakam di studio Nova Music di bawah penerbitan Sharon Paul. Pada bulan Februari 2018, Misha memuatnaik pradengar lagu ini di laman Instagram namun rakaman vokal yang diterbitkan tidak sama dengan lagu yang dimuatnaik tersebut. Ketika itu Misha memperkenalkan cabaran menyanyi chorus Sampai Bila yang belum diberi tajuk dan mendapat lebih kurang 500 penyertaan. Menurut Sharon, lagu ini telah diberikan kepada Misha melalui Sony Music sekitar pertengahan 2017 namun Sony terpaksa menunggu Misha betul-betul bersedia sehingga awal 2018 kerana komitmen kepada keluarga kerana anaknya, Muhammad Idris Ezwa sering sakit, selain kualiti vokal Misha sedikit merosot [1]. Lagu ini padanya diberi nama sebagai "Secebis Hati" oleh Fedtri dan kemudian ketika rakaman demo ditukar kepada "Pengganti Cinta". Pada April 2018 judul lagu ini ditetapkan sebagai "Sampai Bila" bagi memudahkan pengenalan kepada pendengar kerana korus yang kuat.